ANAK MONYET DENGAN IBUNYA
Dalam sebuah hutan, ada seekor anak monyet yang sangat nakal. Anak monyet bernama Abun dan dia tinggal dengan ibunya. Ibu monyet tersebut sangat sayang akan anaknya dan selalu memberi nasihat. Dalam hutan itu juga, ada sebuah sungai yang sangat tenang airnya. Di tebing sungai itu pula terdapat sepohon pokok epal yang rendang. Pokok epal tersebut berbuah lebat dan sedang masak ranum. Tetapi, sungai itu menjadi tempat tinggal Sang Buaya yang sangat sombong dan angkuh. Ibu monyet selalu menasihati anaknya supaya berhati-hati dan menjauhkan diri dari sungai tersebut.
“ Abun mesti berhati-hati, jangan sesekali mendekati sungai sebelah hulu sana ” beritahu ibu kepada anak monyet itu.
“ Kenapa, ibu?”
“ Sebab di situ ada sebuah keluarga Sang Buaya yang sangat sombong dan angkuh. Dia akan membaham sesiapa sahaja yang masuk ke kawasan mereka. Sudah banyak keluarga kita yang menjadi korban” cerita ibu monyet kepada anaknya.
” Tapi, ibu, bukan ke ada sepohon pokok epal yang sedang berbuah lebat dekat tebing sungai itu?” tanya anak monyet.
” Ya, tetapi Abun jangan sesekali pergi ke sana. Banyak lagi buah-buahan lain yang kita boleh makan selain buah epal berhampiran tebing sungai itu. Ibu nasihatkan Abun jangan sesekali pergi ke sana. Abun je anak ibu dan keluarga ibu yang tinggal. Ibu tidak mahu kehilangan Abun” ujar ibu monyet sayu.
” Baiklah, ibu. Abun janji tidak akan pergi ke sana”. Janji Abun kepada ibunya.
Pada suatu hari, Abun bermain-main di hutan. Sedang dia bermain-main, dia terpandangkan pohon epal yang sedang berbuah ranum di tebing sungai hulu itu. Sedang dia melihat-lihat, dia teringin untuk ke tebing sungai untuk memetik buah epal itu. Namun, anak monyet itu teringat nasihat ibunya.
” Aku teringin sangat nak merasa buah epal itu. Kelihatan sudah masak dan segar. Tetapi bagaimana dengan nasihat ibu? aku tidak boleh mengabaikan nasihatnya” berfikir-fikir anak monyet seketika.
” Tapi, sayangla kalau tidak ada sesiapa yang memetik dan makan buah itu. Lagi pun ibu bukan ada dekat sini. Aku makan je la. Sudah kenyang aku balik. Ibu tentu tidak tahu” fikir anak monyet tersebut sambil tersenyum puas.
Kemudian, anak monyet itu pergi mendapatkan pokok epal berhampiran sungai tersebut. Dia memanjat pokok epal itu dan melompat-lompat gembira kerana buah-buah epal itu semuanya manis dan enak. Sedang enak menikmati buah tersebut, anak monyet itu ditegur oleh Sang Buaya.
” Hoi! Anak monyet, berani kau datang ke sini dan mencuri buah epal itu” ucap Sang Buaya dengan sombongnya.
” Aku memang berani. Lagi pun kau bukan makan pun buah-buahan ni. Membazir je. Ibu aku cakap tidak elok membazir” balas anak monyet itu sambil ketawa.
” Berani kau melawan aku! Aku akan membaham kau jika aku berpeluang. Binatang sekecil kau tidak akan dapat berlawan dengan aku” balas Sang Buaya.
“ Pokok ni tinggi, kalau kau hebat, panjat la pokok ni” ujar anak monyet dengan beraninya tanpa menghormati Sang Buaya sambil ketawa. Ini membuatkan Sang Buaya berasa sangat marah dan terhina. Dia tidak sabar untuk membaham anak monyet tersebut. Lalu, Sang Buaya membuat keputusan untuk menunggu anak monyet tersebut sehingga turun. Setelah kenyang, anak monyet itu berasa sangat mengantuk lalu tertidur di atas pokok epal tersebut.
Ibu monyet berasa sangat bimbang akan anak monyet. Hari sudah lewat petang tetapi anaknya belum pulang. Ibu monyet tercari- cari anaknya di dalam hutan. Ibu monyet berasa tidak sedap hati lalu pergi ke tebing sungai untuk mencari anaknya. Anak monyet yang tertidur di atas dahan pokok itu tersedar kerana berasa sangat dahaga. Dia turun ke bawah lalu ke tebing sungai untuk minum air. Anak monyet itu tidak sedar bahawa Sang Buaya sudah lama menunggu untuk membahamnya. Ketika sedang minum, Sang Buaya dapat menghidu kedatangan anak monyet tersebut.
Ibu monyet yang melihat kejadian itu dari jauh kemudian berlari-lari mendapatkan anaknya. Sedang Sang Buaya memerhati dan bersedia untuk membaham anak monyet tersebut, ibu monyet terlebih dahulu sampai dan menyelamatkan anaknya. Anak monyet itu terkejut dan terus berlari ke hutan. Dari jauh dia melihat ibunya sudah tiada. Ibu monyet yang malang tersebut berjaya menyelamatkan anaknya. Namun, malang tidak berbau. Ibu monyet tersebut di baham oleh Sang Buaya yang angkuh ketika mahu menyelamatkan anaknya.
Anak monyet menyesal dan sedar akan kesilapannya. Dia insaf dan menyesal kerana tidak mendengar nasihat ibunya. Namun, menyesal dahulu pendapatan menyesal kemudian tidak berguna. Anak monyet tersebut pulang ke hutan dengan sedihnya dan hiduplah dia sebatang kara disebabkan sikapnya sendiri yang tidak mendengar nasihat ibunya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan